WAJIB SEMBAHYANG JUM’AT SESUDAH
SEMBAHYANG RAYA PADA PAGI HARI JUMA’AT.
Soalan:
Kami di Kampong Laba selepas berpuasa dlm bln Ramadhan genap 30 Ramadhan (1 Syawal) dan di siang harinya kami sembahyang Hari Raya ‘Aidil Fitri ada kalanya sembahyang Hari Raya tersebut dan bersamaan hari Juma’at. Dan pertanyaan saya, dan sesudah mengerjakan sembahyang Hari Raya ‘Aidil Fitri itu, adakah wajib didirikan lagi sembahyang fardhu Jum’at pd ketika itu (waktu) atau sembahyang fardhu Dzuhur sahaja, dan apakah hukumnya. Dan tolong berikan fatwa kepada kami.
Jawapan:
الحمد لله رب العالمين والعاقبة للمتقين ولا عدوان الا على الظالمين والصلاة والسلام على أثرف المرسلين سيدنا محمد واله وصحبه أجمعين
Hendaklah diketahui bahawa dlm mazhab Syafi’i yg dianut oleh umat Islam di sebelah sini, bahawa sembahyang Raya Puasa dan sembahyang Raya Haji itu adalah sembahyang sunat yg sangat dituntut dikerjakan oleh umat Islam, dan telah maklum bahawa sembahyang sunat blh dibuat dan blh ditinggalkan dan telah maklum diketahui oleh umat Islam bahawa sembahyang Jum’at fardhu ‘ain di atas batang tubuh orang mukallaf laki-laki yg merdaheka dan sihat dan tiada belayar.
Dan telah diketahui oleh umat Islam bahawa sembahyang sunat seperti sembahyang Raya tiada dpt mengambil tempat sembahyang Jum’at ertinya bila orang mukallaf telah sembahyang Raya pd hari Juma’at maka wajib ia sembahyang fardhu Jum’at pd hari yg ia telah sembahyang Raya itu. Ini menurut asal hukumnya.
Adapun orang-orang kampong yg telah sembahyang Raya di masjid dlm negeri atau bandar dan hari raya itu jatuh pd hari Juma’at, maka orang-orang kampong itu dibenarkan mereka meninggalkan sembahyang Jum’at pd hari itu dan orang-orang negeri dan bandar, wajib di atas mereka mendirikan sembahyang Jum’at menurut mazhab kita As‑Syafi’i radhiallahu ‘anhu.
Maka dr itu wajiblah di atas orang negeri atau bandar, apabila mereka telah sembahyang raya dan Hari Raya itu jatuh pd hari Juma’at mendirikan sembahyang Jum’at bagaimana biasa dan orang-orang kampong yg jauh dr masjid itu dibenarkan oleh syara’ menurut mazhab Al-Imam As-Syafi’i radhiallahu ‘anhu meninggalkan sembahyang Jum’at dan wajib di atas mereka menunaikan sembahyang Dzuhur bagaimana tersebut dlm Syarhu Al-Mahzab dan lain-lain kitab.
Demikianlah bahawa orang-orang kampong yg jauh dr masjid apabila mereka telah sembahyang Raya dan Hari Raya itu jatuh pd hari Juma’at, maka mereka harus meninggalkan sembahyang Jum’at dan wajib sembahyang Dzuhur dan orang‑orang yg dekat masjid wajib diatas mereka mendirikan sembahyang Jum’at setelah mereka menunaikan sembahyang Raya di masjid itu pd pagi raya yg kena pd hari Juma’at itu.
والله أعلم
[YDM. PEHIN DATU SERI MAHARAJA DATO SERI UTAMA
HAJI ISMAIL BIN OMAR ABDUL AZIZ]
Mufti Kerajaan,
Negara Brunei Darussalam
Pejabat Mufti, Brunei
|
Mufti Kerajaan Brunei
|
Tags: #Jumaat #Raya #Selepas #Sembahyang